Sebelum dinamakan Sekolah Kebangsaan Panchor, sekolah ini diberi nama Sekolah Kebangsaan Melayu Panchor, Muar. Sebelum Perang Dunia Kedua pada 1941, sekolah ini terbahagi kepada dua iaitu Sekolah Melayu Panchor Rendah di Pekan Panchor dan Sekolah Melayu Panchor Tinggi di Kampung Melayu, Panchor.
Selepas merdeka, terdapat banyak sekolah baru yang dibina di Panchor antaranya ialah Sekolah Umum Rendah Lelaki Panchor, Sekolah UmumĀ Tinggi Lelaki Panchor dan Sekolah Umum Tinggi Perempuan Panchor.
Pada Tahun 1963, terdapat perubahan yang besar iaitu ketiga-tiga sekolah ini digabungkan dan dinamakan Sekolah Kebangsaan Panchor. Sekolah Inggeris Rendah Panchor pula dinamakan SRK Kota Raja, Panchor dan diasingkan bangunannya.
Dengan kerjasama daripada PIBG, sokongan murid-murid, para pendidik, bantuan daripada pihak Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Johor dan Pejabat Pendidikan Daerah Muar, sekolah ini telah diberi peruntukan bangunan bernilai RM 392, 200.00. Projek ini bermula pada Jun 1986 dan telah siap dibina pada 16 Januari 1987. Murid-murid sekolah telah mula berpindah ke bangunan baru pada hari Ahad, 7 Jun 1987 bersamaan 10 Syawal 1407 H. Pada ketika itu terdapat seramai 189 orang murid, 10 orang guru, seorang pegawai kerani sekolah, seorang pembantu pejabat, tiga orang pekerja am, dan seorang jaga. Keluasan sekolah ini ialah 3e. 1r. 14p.
Pada masa sekarang, Sekolah Kebangsaan Panchor mempunyai seramai 20 orang guru teermasuk Guru Besar, seorang Pembantu Tadbir, seorang Pembantu Am Pejabat, seorang Fasilitator Schoolnet dan dua orang Pembantu Pengurusan Murid. Jumlah murid pula telah bertambah kepada 281 termasuk murid Pra-Sekolah.
Sesungguhnya, sekolah ini telah melahirkan ramai cerdik pandai yang menjawat jawatan tinggi di peringkat daerah, negeri dan negara. Semoga Sekolah kebangsaan Panchor akan terus berkembang dan cemerlang seiring dengan peredaran masa.
|